Remaja merupakan aset negara yang tidak ternilai harganya. Sejarah telah lama membuktikan keupayaan remaja dalam merobah dan mencorakkan dunia yang kita diami ini. Usamah bin Zaid umpamanya telah diberi kepercayaan untuk memimpin dan mengetuai ekspedisi membebaskan palestin pada usia semuda 18 tahun. Belaiu dilantik menjadi panglima perang mendahului sahabat-sahabat nabi yang lebih tua darinya. Anatara lain, kita lihat juga al-Imam as-Syafi’e, telah diberi kepercayaan oleh gurunya untuk berfatwa pada usia semuda 15 tahun. Sultan Muhammad al-Fateh pula pada usia 24 tahun, memimpin pasukan tenteranya menakluki Konstantinopel pada bulan Mei 1453 M. Ia merupakan satu penaklukan yang gilang gemilang setelah gagal enam kali penyerangan selama 800 tahun. Hasan al-Banna pada usia 22 tahun memandu kebangkitan Islam atas nama gerakan Ikhwanul Muslimin sehingga pengaruhnya tersebar kelebih 70 buah negara.
Contoh-contoh diatas menggambarkan kepada kita akan kegemilangan remaja islam kita pada suatu ketika dahulu. Pada hari ini, segala-galanya sudah berubah. Kajian Fakulti Pendidikan Universiti Malaya mendedahkan,dari 7395 responden remaja, 80% remaja sudah mula merokok seawal usia 15 tahun. 85% dari keseluruhan golongan masayarakat yang suka melepak adalah remaja dari umur 16-25 tahun. Beralih kepada statistik yang dikeluarkan oleh Polis Di-Raja Malaysia pula, kita akan dapati pada hari ini kes rogol berlaku satu kes untuk setiap 3 jam. Manakala kes samun,rompak,pecah rumah dan ragut berlaku setiap 3 minit. Apa yang dapat disimpulkan,majoriti pelaku kes-kes jenayah ini ialah remaja dan golongan dewasa.
Apabila kita membanding beza kondisi dan situasi remaja pada 2 zaman yang berbeza ini, maka kita akan dapati bahawa terdapat 3 faktor yang menyebabkan terjadinya jurang perbezaan sebesar ini. Jahil pada agama, wanita yang menggoda, ditambah dengan kemewahan dan keseronokan yang tiada batasnya. Faktor bertiga inilah yang menentukan naik turunnya sesuatu generasi. Ia merupakan suatu cabaran yang maha besar buat jiwa remaja. Andai tiada kekuatan dan persediaan luaran dan dalaman, maka dari situlah bermulanya zaman keruntuhan dan kebobrokan generasi muda remaja.
Cabaran pertama dan paling berbahaya ialah ujian pada agamanya. Faktor kejahilan agama menyebabkan generasi muda remaja tiada motif atau sebab untuk hidup. Tiada impian untuk dicapai,tiada syurga neraka untuk ditakuti,tiada dosa pahala untuk dihisab, tiada malaikat untuk melihat segala amalan perbuatan mereka dan segala-segalanya tiada. Mereka ialah mereka. Allah dan murka_Nya tidak ada dalam diri, syurga dan neraka tiada dalam pertimbangan, dan lebih teruk mereka menjadi seolah-olah seorang atheis laknat yang tidak ada tuhan dan agama dalam diri. Segala perbuatan mereka hanya bersandar pada nafsu dan keupayaan akal mereka. Natijahnya, mereka akan hidup dan enjoy sekehendaknya. Lalu terbentuklah suasana seperti apa yang kita lihat pada hari ini.
Cabaran yang kedua ialah wanita. Sejarah adam dan hawa menjadi saksi keupayaan wanita dalam mengubah pendirian sang lelaki. Bukankah pembunuhan pertama atas muka bumi tuhan juga atas maudhu’ wanita. Qabil membunuh Habil kerna cemburu pasangannya tidak secantik pasangan Habil. Sedangkan kita tahu bahawa keduanya mendapat tarbiyyah nabawi terus dari Nabi Adam A.S. Bukti yang lain, kita lihat pada bagaimana manusia yang menggelar dirinya tuhan tiba-tiba tunduk patuh pada permintaan makhluk bergelar wanita. Firaun, hidup sezaman dengan nabi Musa, trauma apabila tukang sihirnya meramalkan akan lahir seorang bayi lelaki yang akan menggulingkan kerajaannya. Dengan hati batunya dia mengarahkan semua bayi lelaki yang hidup dan lahir pada waktu itu dibunuh.Kesemuanya. Akan tetapi apabila isterinya memujuk rayu untuk tidak membunuh bayi kecil bernama Musa, dia akur bahkan memelihara dan menjaga bayi itu dengan baik sehingga dewasa. Sedangkan firaun yang tidak berhati perut,tidak berperikemanusiaan,’tuhan’, tersungkur dibibir manis sang wanita, bagaimana dengan kita? Benarlah apa yang nabi SAW takuti untuk umat akhir zaman ini,fitnah wanita berleluasa. Kesannya, rogol berleluasa setiap 3 jam. Mampukah kita menghitung kes zina pula?
Cabaran ketiga ialah kemewahan dan keseronokan yang tiada batasnya. Budaya berhibur telah mengakar umbi dalam jiwa masyarakat kita pada hari ini. Buktinya apabila diadakan konsert artis tersohor, pasti melimpah ruah bilangan manusia yang memeriahkannya. Tetapi apabila tiba masa ceramah atau program agama, kosong sunyi sepi tidak berpenghuni. Lebih dekat kita lihat pada malam ulangtahun kemerdekaan negara, Ceramah dan program keagamaan Masjid KLCC pasti tenggelam dengan sorak-sorai manusia berkonsert di sebelahnya. Tema yang dipakai ialah; “Live to its fullest”. Televisyen menjadi medium utama penyaluran rancangan-rancanagn hiburan masuk menjalar ke segenap rumah, mewujudkan suasana berhibur kesetiap rumah di negara kita. Rancangan reality tv tumbuh bagaikan cendawan. Remaja-remaja kita pula ‘bagai nak gila’ menyokong artis pujaan mereka bahkan menangis teresak-esak bila artis kesayangan mereka diundi keluar program. Hidup akan menjadi sangat sunyi andai tidak kedengaran lagu-lagu cinta dari corong radio,sorak-sorai manusia dari kaca televisyen, bahkan manusia boleh menjadi gila andai kesemua hiburan ini dihentikan buat sebulan. Kesannya, zina untuk berseronok,mencuri untuk berseronok,merompak untuk bermewah-mewah dalam berseronok dan paling teruk merogol untuk ‘menyeronokkan’ nafsu syahwat mereka.
Nyata cabaran-cabaran yang telah dibincangkan menjadi fitnah ujian yang sangat berbahaya andai remaja tiada halatuju dalam hidup. Halatuju paling utama yang perlu diletakkan oleh remaja ialah kearah pembinaan modal insan yang berintegriti,amanah,bermoral dan punya visi dan misi dalam hidupnya. Remaja yang berwawasan ini juga digelar sebagai fardi muslim yang menjadi teras dalam pembinaan masayrakat yang bermaruah. Individu muslim ini mestilah menghayati Islam secara syumul, menjadikan Quran sebagai rujukan, Nabi SAW sebagai ikutan, dan paling penting merasai kebersamaan Allah SWT dan malaikat-Nya dalam rutin harian.
Konklusinya, remaja perlu jelas tentang cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam usia muda ini dan bersedia dengan senjata penangkis yang tidak lain dan tidak bukan adalah kekuatan iman itu sendiri. Kekuatan iman diperoleh melalui amalan-amalan agama dan usaha dakwah yang dilakukan secara berterusan. HAsil dari mujahadah yang berterusan ini akan membawa remaja kearah mencapai halatuju yang diinginkan iaitu terbentuknya fardi muslim yang seterusnya membentuk Baitul Muslim-keluarga yang menghayati ISlam. Bertambah banyaknya Baitul Muslim bakal membentuk Mujtama’ Muslim-masayarakat yang menghayati Islam dan seterusnya kearah pembinaan Daulah Islam dan Khilafah Islam yang kita impikan.
-SHARIF AHMAD(0132969024)-
16 NOV 2007, 1140
No comments:
Post a Comment